RMKe-10: Guru J-QAF ditambah

ALOR SETAR: Kerajaan akan mewujudkan 10,000 perjawatan baru mengisi kekosongan guru J-QAF selaras usaha menambah guru pendidikan Islam di sekolah seluruh negara seperti dirangka dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10). 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata perjawatan baru itu sebagai tambahan kepada 14,000 guru J-QAF sedia ada di seluruh negara bagi menampung keperluan sekolah.


Beliau berkata, usaha menambah sumber manusia membabitkan guru pendidikan agama akan lebih mudah kerana RMKe-10 membuka peluang kepada lulusan Sijil Menengah Agama atau Sijil Tinggi Agama menjadi guru pendidikan Islam dan J-Qaf.
“Justeru, penambahan 10,000 jawatan ini dijangka dapat merealisasikan hasrat menempatkan guru J-QAF di setiap sekolah rendah yang mempunyai pelajar Melayu termasuk di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT). 

“Ketika ini, jumlah guru J-QAF tidak cukup untuk menampung keperluan sekolah dan kita berharap penambahan guru dapat membantu usaha melahirkan modal insan berkualiti,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Kesatuan Kebangsaan Guru Agama Malaysia Barat Cawangan Kedah, di sini semalam. 

Sementara itu, Jamil Khir berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dijangka menyelaras perjawatan guru agama di jabatan dan majlis agama menerusi pelan dirangka dalam RMKe -10. 

“Selain itu, kita jangka lebih banyak premis dan bangunan jabatan serta majlis agama dibina dalam rancangan lima tahun ini, manakala sistem pengurusan dan penyelenggaraan masjid pula akan dipergiatkan,” katanya. 
Jamil Khir berkata, RMKe-10 memberi manfaat secara menyeluruh dengan menggabungkan pembangunan fizikal dan modal insan menerusi penyediaan program dan perancangan konsisten. 

Popular posts from this blog

Pertandingan Kalam Jamaei ke Peringkat Kebangsaan